Saturday, October 4, 2008



Sayuran hijau penghias laman

Dipetik dari teks Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my

SUASANA laman segar menghijau dengan puluhan jenis sayur-sayuran tempatan membangkitkan kepuasan bak saujana mata memandang.

Sebaik saja melangkah kaki masuk ke pekarangan rumah banglo dua tingkat di Jalan Teluki 5, Bukit Sentosa, hati pasti tertanya-tanya akan tujuan tanaman sayur-sayuran sekeliling rumah.

Pemiliknya, Shahrina Othman, berkata hobi berkebun dan menanam pelbagai tumbuhan hijau kawasan rumah begitu sebati dengan jiwanya sejak menduduki rumah itu pada 1999 lalu.

Katanya, ada lebih 30 spesies sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan ditanam membentuk dekorasi menawan sejak beberapa tahun lalu.

“Aktiviti ini memberikan kepuasan diri serta menyihatkan badan. Saya suka membelai tumbuhan hijau jenis berdaun.

“Saya menjadikan sayuran segar seperti bayam ,cili, kangkung, bendi, kaduk, pandan, serai, kailan dan sawi sebagai ole-ole istimewa kepada tetamu yang bertandang ke sini,” kata suri rumah kepada empat anak itu.

Keluasan rumah 8,600 kaki persegi sesuai ditanam pelbagai jenis sayuran, pokok buah-buahan dan pokok hiasan lain.

Setiap hari, Shahrina memperuntukkan lebih dua jam untuk menanam, membaja dan membentuk landskap indah di kawasan rumahnya itu.

Katanya, kebiasaannya waktu pagi dan petang digunakan untuk berkebun bersama anaknya. Ikatan kasih sayang keluarga dapat dijalin menerusi aktiviti berkebun ini.

“Saya menanam pokok, sayuran dan pokok buah mengikut sudut bertemakan landskap hijau bermanfaat demi menjadikan ruang luas tampak bernilai komersil.

“Ada juga tanaman kontan lain seperti pokok pisang, kelapa gading, mata kucing, betik dan ciku dalam taman ini. Ketika pokok ini berbuah, keluarga dapat memetiknya sendiri untuk dimakan. Ini dapat menjimatkan belanja seharian,” katanya.

Untuk mendapatkan anak pokok untuk ditanam, dia mengambil terus dari kampung halamannya di Johor, bertukar dengan jiran dan membeli dari ladang.

Panorama indah menghijau sayuran dan pokok buah-buahan mewarnai landskap unik persekitaran rumahnya sepanjang masa.

Katanya, minat itu membantu ekonomi keluarga.

“Apabila memasak, saya tiada masalah mendapatkan bekalan sayur-sayuran,” katanya.

No comments: